Melalui slogan We Love We Care program selama empat hari anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Pejabat Naib Canselor dan Persatuan Matahari UMP setiap peserta turut berpeluang tinggal bersama keluarga angkat bagi mengenali lebih dekat budaya serta adat resam masyarakat di Tammalang itu.

Menurut Pendaftar UMP, Abd. Hamid Majid, peserta yang terdiri dalam kalangan mahasiswa bersama masyarakat kampung menjayakan aktiviti khidmat masyarakat termasuk bergotong-royong memasak, menjalankan aktiviti mewarna bersama kanak-kanak.

“Kunjungan kali keempat ini amat dinanti penduduk untuk beramah mesra dan bertemu sendiri dengan sukarelawan.

“Selain bertemu masyarakat desa, program memasyarakatkan teknologi diadakan dengan memasang panel solar sekali gus membuktikan semangat setiakawan yang telah lama wujud antara dua negara iaitu Malaysia dan Thailand," katanya ketika hadir pada majlis perasmian di Tammalang, Satun, Thailand baru-baru ini.

Hadir merasmikan majlis tersebut ialah Ketua Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah Satun, Kolonol Pansawat Malarat; Penghulu Tammalang, Nasir Dinman dan Pegawai Eksekutif SAO Tammalang, Chainan Longsama.

Abd. Hamid berkata, turut dijalankan ialah menggunakan ha­sil produk Pisoptera berteknologi hijau pertama di Malaysia yang mesra alam dalam menangani masalah berkaitan dengan serangan anai-anai.

“Produk UMP Ecopest Sdn. Bhd. merupakan syarikat terbitan UMP dalam mengkomersialkan produk kawalan anai-anai dan produk kawalan serangga (PestKilla).

“Persatuan Matahari UMP turut menyampaikan sumbangan tunai dan keperluan telekung untuk diwakafkan di masjid-masjid terpilih," jelasnya.

Beliau mengharapkan program tersebut menjadi kebanggaan peserta dan sebagai kenangan selepas menamatkan pengajian nanti.

Sementara itu, mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli, Yeah Yuan Xin, 20, berkata, pengalaman ini amat bermakna apabila berpeluang tinggal bersama keluarga angkat yang begitu mesra dan belajar berbahasa Siam.

Bagi mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi Industri dan Teknologi Industri, Intan Nur Liyana Azhar, 20, pula teruja dapat mempelajari beberapa budaya masyarakat di Thailand yang tidak diketahui sebelum ini.

“Saya teruja dan gembira ke­rana dapat berkongsi pengalaman terutama rat-rata masyarakat di sana adalah golongan nelayan.

“Saya juga belajar membuat kuih tradisional di Tammalang, Satun," jelasnya.