DAING NASIR IBRAHIM

Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Seri Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, penilaian tersebut ada­lah berdasarkan beberapa kriteria se­perti kualiti, penyelidikan, pascasiswazah, inovasi, khidmat profesional dan hadiah termasuk penilaian jaringan dan jangkauan serta kemudahan sokongan di universiti berkenaan.

“Pencapaian ini bertepatan dengan aspirasi kegemilangan UMP untuk menjadi universiti teknologi terunggul menjelang 2020 yang bukan sahaja mendapat pengiktirafan setempat tetapi juga antarabangsa.

“Sistem penilaian ini memberi ruang dan peluang kepada UMP untuk membuat dasar termasuk penetapan dasar pen­ting sekali gus menyemarakkan usaha membangunkan serta memantapkan pencapaian universiti di negara ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurut Daing Nasir, UMP akan memperhebat peranan pusat kecemerlangannya dan meningkatkan penerbitan jurnal berimpak tinggi serta menyemarakkan lagi aktiviti pengkomersialan.

“Penilaian 2013 dan 2015 kita telah mencapai tahap empat bintang, 2014 dengan tiga bintang manakala pada 2011 dan 2012 hanya memperoleh dua bintang. Pencapaian lima bintang ini membuktikan pembangunan dan perkembangan penyelidikan serta inovasi yang agresif telah dilaksanakan di universiti ini,” katanya.

Beliau berharap agar warga UMP te­rus berusaha mencipta kecemerlangan pada masa depan selari dengan pencapaian Pelan Strategik UMP 2016-2020 bertemakan Menjana Kegemilangan dan hasrat dalam merea­lisasikan slogan Memasyarakatkan Teknologi terutamanya dalam melonjakkan keberhasilan penyelidikan dan penerbitan berimpak tinggi.

“Bertepatan dengan hasrat kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam menghasilkan penyelidikan dan inovasi yang dapat dimanfaatkan kepada masyarakat di negara ini.

“Dalam pada itu, UMP juga cemerlang mendapat lima bintang dalam Sistem Penarafan Universiti dan Kolej Universiti (Setara) 2017 dan Penarafan Pengumpulan Data Kementerian Pendidikan Tinggi (MyMohes) 2017.

Sementara itu, jelasnya, UMP turut menerima Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewa­ngan dengan lima bintang berdasarkan Indeks Akauntabiliti Jabatan Audit Negara Bagi 2016.