Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, UMP komited menyokong usaha kerajaan memartabatkan kecemerlangan sektor awam dan swasta dengan budaya urus tadbir korporat berintegriti.

“Pusat Tadbir Urus dan Integriti (FGIC) di Fakulti Pengurusan Industri UMP dengan kerjasama Yayasan Pahang dan Institut Urus Tadbir Korporat (MGIC) telah membangunkan Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) yang dilancarkan pada 3 April lalu.

“Inisiatif itu merupakan meka­nisme berteraskan teknologi dan berkeupayaan mengukur, mengesan dan menghalang risiko rasuah serta salah laku dalam kalangan pengurusan, pelabur, pekerja, pelanggan serta pihak berkepen­tingan dalam sesuatu urusan organisasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah bersama SPRM di sini semalam.

Menurut Daing Nasir, UMP bersedia berkongsi kepakaran penyelidikan yang dimiliki dengan mana-mana agensi termasuk SPRM sebagai rakan sinergi.

“Saya percaya pada permulaan ini, pihak SPRM dapat dilibatkan dalam penganjuran edisi kedua Persidangan Urus Tadbir & Inte­griti anjuran FGIC yang dijangka berlangsung tahun depan.

“Dalam pada itu, pihak pengurusan UMP juga mengalu-alukan saranan dan khidmat nasihat SPRM dari semasa ke semasa bagi memastikan aspek integriti dan akauntabiliti di setiap peringkat operasi berada pada tahap terbaik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Alias Salim berkata, melalui pendekatan ikrar bebas rasuah ini dapat menyedarkan kakitangan dan pegawai akan kesan buruk daripada penglibatan rasuah.

“Untuk pengetahuan semua, SPRM komited dalam meme­rangi rasuah dan saling ingat-mengingati kepentingan inte­griti pada setiap perhimpunan dan perjumpaan di semua peringkat dalam organisasi,” katanya.

Katanya, pihak SPRM menyokong penuh usaha UMP mendidik warganya agar tidak mengambil kesempatan dan mempunyai kepentingan lain ketika berurusan dengan pihak pembekal dan sebagainya dalam usaha mereka menjauhi rasuah.