Bekas Setiausaha UMNO Bahagian Maran, Mokhtar Afendy Mokhtar berkata, pemilihan jawatan kepemimpinan UMNO baru-baru ini menambah kematangan ahli parti berkenaan untuk memilih pemimpin masa depan.

Katanya, setelah melalui fasa pemilihan melibatkan semua jawatan dalam UMNO termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri, perlu diakui setidak-tidaknya ada tersinggung atau berjauh hati dengan keputusan diperoleh.

“Namun majlis anjuran UMNO Bahagian Maran ini di bawah ke­tua baharu, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berjaya memulihkan keretakan hubungan kekeluargaan dalam UMNO.

“Ini juga membuktikan ahli UMNO semakin matang kerana fokus utama sekarang adalah untuk memulihkan integriti parti selain merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenor dan Luit dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya selepas program berkenaan.

Bekas Ahli Jawatankuasa UMNO Maran, Datuk Abdul Rahman Daud pula berpendapat, majlis seperti itu mampu memberi impak positif terhadap usaha UMNO untuk mengembalikan sokongan rakyat terhadap parti berkenaan.

Katanya, UMNO perlu di­per­kukuh dan diperkasa jika mahu kembali berada di hati rakyat dengan memberi mesej jelas bahawa kepemimpinannya sentiasa bersatu, sanggup berkorban dan se­derap dalam menjayakan misi serta visi parti.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Maran, Datin Seri Fatimah Kasim berkata, ahli UMNO perlu menerima kenyataan bahawa parti itu perlu dikembalikan maruahnya yang tercalar selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Memulihkan sokongan ahli di peringkat akar umbi terhadap UMNO dan hala tuju kepemimpinan di peringkat bahagian dapat mempercepatkan pemulihan UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, Shahaniza berkata, usaha mendekati rakyat peringkat akar umbi bukan sahaja diteruskan malah akan diperkasa.

Beliau berkata, bangunan UMNO Maran Pekan Tajau akan dijadikan sebagai Pusat Khidmat Rakyat bagi membantu mana-mana golongan bermasalah dan memerlukan bantuan.

Pada masa sama, katanya, pendekatan strategik lain ialah mengadakan mesyuarat bulanan jawatankuasa UMNO bahagian bersama jawatankuasa DUN secara bergilir-gilir bagi mengenal pasti masalah rakyat setempat.

“UMNO tidak boleh lagi bernostalgia dan berasa syok sendiri ketika menganjurkan pelbagai program sedangkan tidak mencapai matlamat sasaran,” katanya.