Pensyarah Jabatan Sains Ma­rin UIAM, Prof. Madya Dr. Shahbudin Saad yang menge­tuai program dan lawatan itu berkata, penyertaan pensyarah, kakita­ngan serta pelajar UIAM di Jepun baru-baru ini antara lain membawa misi mempelajari sifat kepemimpinan yang menjadi amalan rakyat Jepun.

Beliau berkata, amalan budaya positif penduduk Jepun diharap dapat diserapkan ke dalam diri setiap peserta program se­perti kuat dan rajin bekerja, tekun, disiplin serta budaya menjaga kebersihan.

“Pemilihan Jepun dalam program ini antara lain bertujuan melihat lebih dekat budaya serta amalan positif kehidupan rakyat negara berkenaan yang boleh diserapkan dalam kepemimpinan pelajar serta kakitangan Mahallah Khalid Al-Walid kampus Kuantan, Pahang.

“Peserta dapat menilai budaya positif dan diamalkan serta dikongsi bersama apabila pulang ke tanah air.

“Melalui perubahan sikap ini nanti, dapat meletakkan UIAM ke tahap yang lebih tinggi,” katanya yang juga Pengetua Kolej Kediaman Mahallah Khalid Al-Walid di sini hari ini.

Menurutnya, dalam program tersebut peserta berkesempatan ber­temu dan bertukar-tukar fikiran serta pengalaman dengan beberapa rakyat Malaysia yang bekerja dan belajar di negara berkenaan.

Lebih menarik, apabila pro­gram itu dapat mewujudkan ker­jasama dalam bidang pendi­dikan dengan Universiti Nasio­nal Yokohama dan Universiti To­kushoku.

Jelas Shahbudin, antara bidang pendidikan yang dilihat ber­potensi dari dua universiti itu ialah kejuruteraan, elektronik, au­tomobil, marin sains, akauntan dan banyak lagi.

Beliau menambah, diharap pro­gram itu dapat dijadikan perintis kepada pelbagai kerjasama dengan universiti lain di Jepun.

“Malah, diharap ia dapat membuka peluang lebih luas kepada pensyarah, kakitangan dan pelajar UIAM dalam meneroka ilmu dan pengetahuan serta peluang melanjutkan pelajaran di Jepun,” katanya.

Program tersebut turut ber­kesempatan mengadakan per­bincangan dan soal jawab dengan Setiausaha Pertama Pejabat Kedutaan Malaysia di Jepun, Mohd. Ishrin Mohd. Ishak.