Majlis Daerah Raub (MDR) antara pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini yang aktif melestarikan projek kebersihan dan keceriaan untuk mengubah landskap bandar yang mempunyai artifak sejarah perlombongan zaman British sebelum merdeka lebih moden serta menarik.

Hal demikian kerana bandar ini yang menjadi transit kenderaan berulang alik dari Lembah Kelang ke Kelantan selain sebagai laluan utama pengunjung ke pusat peranginan Bukit Fraser dan Cameron Highlands.

Yang Dipertua MDR, Hamdan Hussin berkata, projek kebersihan dan keceriaan yang dilaksanakan melibatkan peruntukan sebanyak RM20,000 daripada Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan iaitu mengecat premis bersejarah, dewan utama, jam besar, tembok dan laluan pejalan kaki serta memasang lampu berwarna-warni di bandar ini.

“Projek landskap dan mengecat premis mengubah pemandangan persekitaran bandar ini lebih menarik dan ceria termasuk pada sebelah malam untuk menerima pengunjung serta penduduk tempatan lebih selesa berbelanja.

“Usaha kita mengecat rumah persinggahan, premis perniagaan dan membina landskap untuk mewujudkan persekitaran kondusif serta selamat di samping menjadi lokasi bagi pengunjung untuk bersiar-siar pada hujung minggu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Setiausaha MDR, Mohd. Pauzi Abu Hussaini berkata, projek landskap melibatkan tanaman pokok bunga dan teduhan bertujuan melantarkan kehijauan bandar itu di samping memberi keseimbangan ekosistem.

“Aspirasi kita untuk mewujudkan persekitaran bersih dan ceria ini sewajarnya mendapat kerjasama pengunjung dengan bersama-sama menjaga kebersihan dan jangan membuang sampah di merata-rata tempat termasuk puntung rokok,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengunjung dari Kuantan, Ahmad Hafizuddin Ismail, 40, mengakui berasa teruja ketika singgah menjamu selera sebelum pulang ke kampungnya di Pamah Rawas, dekat sini setelah mendapati banyak perubahan landskap wujud di bandar ini.

“Keadaan ini mencerminkan PBT memainkan peranan proaktif untuk mewujudkan bandar moden yang menjana pertumbuhan ekonomi dan sosial penduduk berasaskan perniagaan,” katanya.