Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, umat Islam juga perlu menghayati akhlak Rasulullah SAW yang merupakan khazanah tidak ternilai.

“Sebagai umat Islam terakhir, kita dituntut untuk memahami tugas yang diamanahkan iaitu menyeru kepada al-Khair (Islam) berkonsepkan kesederhanaan.

“Sambil itu, umat Islam hendaklah terus mematuhi maqasid syariah selain daripada menyantuni manusia dengan amar makruf nahi mungkar atau menyeru kepada kebaikan serta menghindar diri dari kemungkaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri yang disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini kelmarin.

Kira-kira 2,000 umat Islam hadir pada majlis berkenaan yang bertemakan Menyantuni Umat Membawa Rahmat.

Yang hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh; Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad,

Dalam majlis berkenaan, bekas Dekan Pengajian Islam Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, Datuk Dr. Ahmad Munawar Abdul Jalil, 60, dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri dan menerima wang tunai RM10,000, trofi berserta sijil.

Wan Rosdy berkata, setiap tahun, umat Islam pasti akan mengimbau dan mengambil iktibar daripada peristiwa hijrah yang menjadi asas kepada gemilangnya syariat Islam ke seluruh alam yang merentasi benua dan zaman.

“Roh dan semangat hijrah Rasulullah SAW sewajarnya menjadi momentum berganda untuk umat Islam terus melakukan transformasi dan islah buat negara dan negeri ini,” ujarnya.