Penganjuran karnival ber­kenaan adalah inisiatif kerajaan untuk mempromosi bidang kemahiran yang dijangka mampu memberi impak positif kepada pembangunan modal insan dan ekonomi.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib berkata, Malaysia memerlukan pekerja berkemahiran tinggi yang bukan sahaja berpengetahuan malah mempunyai kelebihan dalam memacu industri berasaskan kemahiran setaraf dengan pencapaian negara lain.

“Menerusi pelaksanaan TVET yang menyasarkan golongan belia dengan kemahiran tertentu dalam industri, ia secara tidak langsung mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada mereka.

“Selain itu, pemerkasaan aktiviti TVET adalah sebahagian ini­siatif kerajaan untuk merancakkan transformasi sosioekonomi dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat terutama golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) di kawasan luar bandar khususnya di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menutup Karnival TVET Malaysia Zon Timur 2018 di pekarangan Stadium Darul Makmur di sini semalam.

Yang hadir sama Ketua Setia­usaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Dr. Mohd. Gazali Abas dan Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran, Nidzam Kamarulzaman.

Ismail berkata, graduan berkelulusan bidang TVET tidak perlu bimbang dengan peluang kerjaya yang ditawarkan kerana ia tidak terhad untuk bekerja dalam industri malah mereka juga berpeluang menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan teknikal.

Menurut beliau, pelbagai program berimpak tinggi giat dilaksanakan di ECER yang memberi tumpuan kepada graduan TVET di Pantai Timur bagi menjamin peluang peningkatan ekonomi dan taraf hidup masyarakat.