Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Noor Yusof Ali berkata, antara kawasan terlibat ialah Jalan Gambang-Segamat, Jalan Gebeng-Cherating dan Jalan Kuantan-Pekan.

Menurutnya, laluan tersebut menyumbang empat kes kemalangan maut dan angka tersebut meningkat dua kes berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

“Jumlah saman terkumpul meningkat sebanyak 46.2 peratus iaitu daripda 1,696 kepada 2,480 dalam tempoh 9 hingga 14 Februari lalu melibatkan kesalahan ter­tinggi iaitu memandu melebihi had laju iaitu sebanyak 2,226 saman.

“Kesalahan utama lain yang menjadi perhatian ialah menggunakan telefon bimbit semasa memandu dengan mencatat pe­ningkatan mendadak iaitu dari tiga kes kepada 25 kes.

Kesalahan lain ialah tidak mematuhi lampu isyarat, memotong barisan serta memotong di dua garisan berkembar,” katanya selepas merasmikan pelancaran Op Selamat 12 di Plaza Tol Gambang, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Noor berkata, faktor sikap menjadi punca utama kemalangan dan menuntut perhatian setiap pengguna jalan raya bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Rehat yang cukup dan sabar ketika berada di jalan raya dapat mengurangkan risiko kemalangan sekali gus menimbulkan situasi yang selesa kepada semua pengguna.

“Kita semua maklum bahawa jalan raya menjadi sesak dengan kenderaan terutama ketika menje­lang sesuatu perayaan dan keada­an ini perlu diberikan perhatian bagi mengelak sebarang masalah ketika dalam perjalanan ke destinasi masing-masing,” katanya.

Beliau berharap semua pemandu mengutamakan kesela­matan dan tidak terburu-buru selain memandu pada kelajuan ditetapkan.