Tradisi berkenaan tidak dilupakan malah semakin subur diwarisi oleh generasi hari ini kerana aktiviti itu merupakan sinonim bagi mereka yang be­kerja sebagai nelayan yang tinggal di pesisir sungai tersebut.

Aktiviti dikenali sebagai Pesta Mengerau tersebut lazimnya dilakukan setiap tahun iaitu bermula Februari hingga Julai ketika paras air Sungai Tembe­ling menjadi cetek akibat musim kemarau.

Bagi golongan perantau yang bekerja di luar, aktiviti itu me­nambat hati mereka untuk pulang ke desa di pedalaman daerah ini bagi menyertai Pesta Mengerau selain dapat berkumpul bersama sanak-saudara yang jarang bertemu.

Ketika itu timbul suasana keseronokan dan riuh-rendah apabila kedengaran suara menghalau ikan bermula daripada kawasan hulu sungai sehingga ke hilir dalam jarak 1,000 meter sehingga ikan liar yang terperangkap dalam jaring yang dipasang.

Ketua Kampung Kuala Sat, Abdul Jabar Dolah, 44, berkata, orang lelaki akan memasang (memacak) buluh yang disangkut dengan jaring besar lalu dipasang merentangi Sungai Tembeling di kawasan hilir dalam jarak yang ditentukan.

“Penduduk pula secara beramai-ramai terdiri daripada lelaki dan wanita pelbagai pe­ringkat usia akan menghambat (mengerau) ikan liar dari kawasan lubuk sungai bermula di hulu sehingga ke kawasan dipasang jaring,” katanya di Kuala Sat, dekat sini baru-baru ini.

Menurut Abdul Jabar, pesta mengerau bukan sahaja untuk memperoleh pelbagai spesies ikan liar seperti patin, kerai, lampan, lawang dan rom tetapi sebagai tempat pertemuan jodoh bagi mereka yang belum berkahwin.

Katanya, pesta mengerau sinonim dengan kehidupan lampau masyarakat Melayu di lima buah kampung di Hulu Tembeling iaitu Kampung Bantai, Kuala Sat, Gusai, Mat Daling dan Kampung Pagi apabila aktiviti itu lebih signifikan untuk menyatukan (bertemu jodoh) bagi pasangan belum berkahwin.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pelancong Kuala Tahan, Abdul Jalil Rahman, 55, berkata, ikan yang ditangkap hasil mengerau akan diagih-agihkan kepada penduduk.