Ketua Usahanita Jerantut, Datuk Khatijah Mohd. Said berkata, kemahiran berkenaan dapat menjamin kualiti produk sekali gus membantu menembusi pa­saran di seluruh negara.

Beliau berkata, usaha itu selaras dengan hasrat kerajaan yang memberikan tumpuan dan galakan pembangunan sektor industri kecil dan sederhana (IKS) yang merupakan pemangkin kepada mobiliti ekonomi lebih besar di negara ini.

“Berasaskan kajian dan pe­merhatian, saya mendapati kebanyakan ahli Usahanita di sini tidak berpeluang menerima latihan kemahiran tertentu sekali gus perniagaan mereka tidak mampu berkembang.

“Kemahiran perniagaan me­reka perlu dipertingkatkan termasuk strategi pasaran sehingga mereka mampu berdikari dan mengubah pendapatan keluarga,” katanya selepas mesyuarat persatuan itu di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin dan Pengarah SME Corporation ne­geri, Musnani Basirin.

Sementara itu, Musnani da­lam taklimatnya meminta ahli Usahanita Jerantut mengintai peluang dalam IKS khususnya mengeluarkan sesuatu produk.

“Banyak agensi di bawah kerajaan menyediakan peluang yang saksama bagi memajukan sektor itu dengan menyediakan pinjaman dan bantuan nilai modal yang bersesuaian,” katanya.