Tiga kampung itu adalah Kampung Tere­sek, Kampung Be­lebar dan Kampung Se­mena.

Selain melimpah di atas jalan raya, air Su­ngai Tembeling turut menenggelamkan kawasan tempat letak kereta di Kuala Tahan Seberang, berdekatan Taman Negara.

Berikutan keadaan tersebut, lima buah restoran terapung di situ berubah kedudukan dan terpaksa ditambat pada pokok besar oleh pengusaha terbabit.

Kenaikan paras air sungai secara mendadak di pedalaman daerah ini iaitu Sungai Sepia, Sungai Pengau dan aliran utama, Sungai Tembeling dan Su­ngai Tahan berikutan hujan turun tanpa henti sejak Jumaat lalu turut menyebabkan penduduk di enam buah kampung pesisir sungai sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga.

Kampung itu adalah Kampung Bantai, Kampung Mat Daling, Kampung Kuala Sat, Kampung Pagi dan Kuala Tahan dan Kampung Gusai.

Di Taman Negara Kuala Tahan, paras air Sungai Tembeling dan Sungai Tahan mengikut sumber pengusaha chalet Mutiara Taman Negara Resort (MTNR) naik pada paras 65.7 meter iaitu melebihi paras normal 60 meter.

Pengurus Pemasaran Pelancongan MTNR, Sabri Abdullah berkata, keadaan arus Sungai Tembeling deras dan berkemungkinan paras airnya akan terus naik bermula petang ini berikutan hujan ma­sih turun di kawasan hulu.

“Paras air di ste­sen pengukur banjir Kuala Tahan yang lazim sebagai pe­nanda bagi tujuan keselamatan berada keadaan berwaspada iaitu 64 meter, amaran pertama adalah pada paras 66 meter dan bahaya 68 meter,” katanya.

Sementara itu seorang penduduk Kuala Sat, Zulkifli Jamaluddin, 54, berkata, mereka sudah menjangkakan paras air akan naik memandangkan hujan lebat di hulu dan kelihatan arus sungai dipenuhi tanah berlumpur, kayu balak dan reba pokok kecil akibat runtuhan tebing.

“Kawasan pasir dan jeti kampung ini dan Kampung Bantai sudah pun dinaiki air melebihi tiga meter dan berkemungkinan melimpah ke kawasan rendah jika hujan lebat berterusan.

“Kita bersiap sedia berpindah jika berlaku banjir termasuk menambat bot penambang dan me­ngalih kenderaan ke tempat selamat,” katanya.