Pengarah Eksekutif Anih Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, aspek memperkasakan golongan usahawan khususnya industri kecil dan sederhana (IKS) dengan menawarkan peluang perniagaan dalam suasana persekitaran kondusif menjadi fokus utama syarikat itu dalam membantu komuniti masyarakat setempat di sepanjang jajaran lebuh rayanya.

Beliau berkata, kadar sewa bulanan dikenakan kepada usahawan yang menjalankan perniagaan di R&R dan hentian sebe­lah adalah rendah iaitu RM80 bagi gerai buah-buahan sehingga RM1,000 untuk gerai minuman bergantung kepada lokasi.

“Kadar sewaan gerai di LPT1 tidak pernah dinaikkan sejak bermulanya operasi lebuh raya itu pada September 2014. Dengan meningkatnya kos penyelenggaraan setiap tahun dan peningkatan jumlah trafik serta pengunjung R&R serta hentian sebelah, sudah tiba masanya syarikat mengkaji semula kadar sewaan sedia ada supaya sepadan dengan kos ditanggung.

“Pada dasarnya, syarikat tidak pernah meraih sebarang keuntungan daripada segmen sewaan gerai di lebuh raya malah syarikat terpaksa mengeluarkan kos yang lebih tinggi untuk kerja-kerja penyelengaraan gerai di R&R dan di hentian sebelah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas berhubung dakwaan syarikat itu akan menaikkan kadar sewa di gerai perniagaan kendaliaannya di KLK dan LPT1.

Nik Fauzi berkata, untuk rekod, syarikat itu membelanjakan hampir RM8 juta pada tahun lalu untuk menampung kerja-kerja penyelenggaraan gerai di R&R dan di hentian sebelah.

“Syarikat belum membuat sebarang keputusan muktamad berhubung kenaikan kadar sewaan gerai di R&R atau di hentian sebelah buat masa ini kerana masih dalam peringkat kajian.

“Sudah tentu sebarang keputusan yang akan dibuat kelak bersandarkan situasi 'menang-menang' dengan mengambil kira keperluan peniaga dan kos penyelenggaraan serta kepentingan pengguna,” ujarnya.

Berhubung peniaga food truck pula, beliau berkata, terdapat 10 peniaga iaitu tiga peniaga di Plaza Tol Karak, masing-masing dua peniaga di Plaza Tol Bentong dan Gombak serta satu peniaga di Plaza Tol Temerloh, Gambang dan R&R Temerloh Hala Barat.

Beliau berkata, Anih Berhad sentiasa memberi sokongan dan peluang perniagaan kepada sesiapa sahaja yang berminat berdasarkan syarat-syarat tertentu ditetapkan di dalam borang permohonan selain kertas kerja yang perlu disediakan untuk sokongan kelulusan.

“Antaranya, syarikat sedia menyewakan gerai kosong kepada pemohon terutama yang bermastautin di jajaran Lebuh Raya KLK dan LPT1 yang berminat serta berkemampuan untuk menjalankan perniagaan di R&R dan di hentian sebelah.” ujarnya.