Pengerusi Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, meskipun demikian sehingga kini tiada sebarang peraturan yang diputuskan dalam menentukan pemakaian terutama melibatkan tudung.

“Kerajaan negeri menghormati hak asasi individu dan agama Islam sekali gus tidak juga melarang atau menyekat pihak hotel terutama di kaunter depan berkaitan cara pemakaian yang ditetapkan.

“Setakat ini bagi perkara demikian, ia langsung tidak memberi sebarang tekanan terhadap industri pelancongan di negeri ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Wan Salman Wan Ismail (BN-Jengka) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Menurut Mohd. Sharkar, beliau berharap tiada sebarang masalah timbul berkaitan tudung bagi pusat-pusat pelancongan terutama hotel di negeri ini.

Sementara itu, Mohd. Sharkar ketika menjawab soalan Datuk Mohamed Arifin Awang Ismail (BN-Chenor) mengenai usaha kerajaan negeri memajukan Bukit Kertau, Maran yang dikenali sebagai titik tengah Semenanjung, katanya adalah wajar menjadikan lokasi itu sebagai destinasi pelancongan.

“Sebagai makluman, buat masa ini belum ada sebarang pewartaan kawasan trigonometri Bukit Kertau sebagai kawasan perlindungan.

“Bagaimanapun, Jabatan Ukur dan Pemetaan negeri akan menyediakan pelan warta kawasan tersebut bagi tujuan pewartaan bagi kawasan perlindungan sekiranya ada permintaan daripada pihak-pihak berkenaan,” jelasnya.