Pengerusi Koperasi Penternak Ikan Sangkar dan Nelayan Sungai Pahang Temerloh Berhad, Datuk Abu Hanipah Majid berkata,  penggunaan kaedah tersebut dilihat signifikan dalam usaha mengurangkan ri­siko kerugian akibat banjir dan kemarau.

“Bagaimanapun, kaedah ini memerlukan pengusaha yang mempunyai sumber kewangan kukuh kerana inovasi ini tentu memerlukan belanja permulaan yang agak tinggi.

“Sekiranya inovasi baharu ternakan ikan sangkar ini berjaya, sudah tentu pengusaha dapat mengawal peratus kematian benih ikan dan kerugian akibat bencana banjir serta kemarau seperti dialami penternak sebelum ini dapat diatasi,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Abu Hanipah,  inovasi baharu dibangunkan de­ngan cara ternakan dilakukan di atas darat menggunakan tangki khas berbanding ternakan sangkar ikan  di dalam sungai.

Beliau memberitahu,  tangki khas itu menggunakan aliran keluar masuk air yang disedut dari sungai dan dibuang semula ke dalam sungai sekali gus dapat mengekalkan rasa dan kualiti ikan yang diternak sama dengan ikan sangkar sedia ada.

Dalam pada itu, beliau berkata, inovasi baharu ternakan ikan itu perlu dilakukan memandang­kan teknologi sangkar sedia ada ketika ini  sudah tidak begitu relevan dalam berhadapan cuaca yang tidak menentu.

“Kita memerlukan sokongan kerajaan melalui geran bantuan kepada koperasi untuk merintis jalan kepada ternakan menggunakan kaedah baharu ini.

“Menerusi geran bantuan ini  diharap dapat memberikan ha­sil yang baik sekali gus menarik lebih ramai pelabur menceburi bidang ternakan ini pada masa hadapan,” katanya.