Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Seri Shafik Fauzan Shariff berkata, kejayaan itu berikutan inisiatif kerajaan bersama agensi di bawah NBOS meningkatkan tahap penanaman tembikai di situ sehingga mampu menembusi pasaran antarabangsa.

“Saya difahamkan legasi penanaman tembikai di kampung ini telah lama dilaksanakan iaitu sejak tiga generasi dan ia adalah usaha pelbagai pihak bagi menghasilkan produk kampung untuk dieksport ke luar negara.

“Selain itu, usaha ini juga mendapat sokongan daripada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah sendiri yang turut mengusahakan beberapa peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk memudahkan penjualan tembikai di Kampung Ubai, terutama di sekitar kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Hantaran Tembikai Ubai Ke Dubai dan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Melon Master Sdn. Bhd. di Balai Raya Kampung Ubai di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA, Mansor Omar.

Sementara itu, Pengerusi Projek NBOS Tanaman Tembikai Kampung Ubai, Husaini Abdullah berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 400 tan pengeluaran tembikai untuk eksport bagi meluaskan pasaran buah tersebut, sekali gus membantu menambahkan pendapatan pekebun di kampung tersebut.

Menurutnya, banyak bantuan diberikan kerajaan melalui pelbagai jabatan termasuk dari aspek nasihat, bajet dan saluran serta kaedah penyelesaian masalah kepada pekebun.

“Kita dalam usaha meluaskan kawasan tanaman, setakat ini terdapat kira-kira 50 pekebun melibatkan keluasan 108 ekar di kawasan ini sahaja untuk tujuan dieksport.

“Tanaman ini dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bagi mendapatkan hasil berterusan dan kami tidak berdepan masalah untuk memenuhi kehendak pasaran dalam dan luar negara,”ujarnya.

Husaini berkata, hasil tanaman kampung itu terus dipasarkan selepas 65 hari dituai dan pihaknya sentiasa menitikberatkan kualiti hasil tanaman.