Tinjauan awal pagi ini mendapati nelayan mula memuatkan barang persediaan seperti tong ikan dan ais ke dalam bot mereka sebelum turun menangkap ikan.

Nelayan di Kampung Beserah, Aziz Razali, 45, berkata nelayan di sini memutuskan untuk turun ke laut setelah melihat keadaan cuaca yang baik.

"Angin dilihat tidak kuat dan ombak juga sederhana. Jadi kami rasa kami sudah boleh turun ke laut menangkap ikan semula setelah hampir lapan hari tidak turun.

"Kami juga sudah memeriksa laporan Jabatan Meteorologi bagi mengetahui arah laluan ribut tropika Pabuk sebelum memutuskan untuk turun ke laut nanti," katanya.

Aziz berkata keadaan laut di sini dilihat sedikit terjejas dengan kedatangan ombak besar bermula Selasa sehingga semalam dipercayai kesan daripada ribut tropika Pabuk yang melanda perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

"Ombak paling kuat malam Khamis lepas. Kita nak turun ke laut pun bimbang sebab takut ribut melanda masa kita dekat tengah laut.

"Tambah pula, musim sekarang yang dikira musim 'jelok' yang mana kita hanya akan turun bila lihat cuaca elok memandangkan sekarang masih dikira dalam musim tengkujuh lagi secara kebiasaan," katanya.

Sementara itu, Azmi Mohd, 39, berkata sepanjang hampir seminggu tidak dapat turun ke laut, dia dapat membaiki pukat dan membuat bubu tambahan.

"Kita tak turun (ke laut) selepas dengar amaran mengenai kehadiran ribut (Pabuk) di televisyen dan berita. Kita tidak mahu ambil risiko untuk tetap turun menangkap ikan takut perkara buruk terjadi.

"Jadi masa yang ada ini saya buat bubu tambahan untuk kegunaan menangkap ikan nanti kalau bubu yang sedia ada rosak selain baiki pukat yang koyak. Ini kebiasaan kita kalau tidak ke laut," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan semalam memaklumkan ribut ini berada di Teluk Siam dan dijangka merentasi Segenting Kra.

Ribut membawa angin kencang berkelajuan 40 kilometer sehingga 50 kilometer sejam dengan ombak berketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Phuket dan Selat Melaka Utara sehingga esok yang turut melanda Perlis, Kedah, dan Pulau Pinang dalam tempoh sama. - BERNAMA