Pegawai Daerah Bera, Datuk Razihan Azharudin berkata, pada masa ini usaha membaik pulih chalet dan infrastruktur di kawasan tasik berkenaan telah siap dilaksanakan.

“Kita akan menyerahkan pe­ngurusan chalet ini kepada pe­ngen­dali berpengalaman yang telah dipilih dalam masa terdekat bagi mereka menyediakan perkhidmatan terbaik.

“Dalam pada itu kita juga sedang menunggu permohonan peruntukan sekurang-kurang­nya RM3 juta bagi mewujudkan pelbagai tarikan yang menarik di kawasan ini,” katanya di sini, baru-baru ini.

Baru-baru ini Pengerusi Ja­wa­tankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, berdasarkan sambutan memberangsangkan kempen Tahun Melawat Pahang 2017, kerajaan negeri akan melancarkan kempen Revisit Pahang 2018.

Katanya, kempen Tahun Melawat Pahang 2017 yang telah merekodkan 9.5 juta pelancong dalam tempoh enam bulan yang me­nyaksikan peningkatan pelancong di kebanyakan daerah bagaimanapun menyaksikan penurunan pelancong di daerah Bera.

Menurut Razihan, pada masa ini terdapat kira-kira 20 bilik chalet yang akan dikendalikan oleh sebuah operator pelancongan terkenal dalam dan luar negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi memastikan program pelancongan di situ mampu berdaya saing pihaknya akan menyediakan pelbagai tarikan baharu apabila menerima peruntukan yang dimohon kelak.

Katanya, antara usaha yang akan dilakukan termasuklah membina laluan kanopi, membaik pulih jeti dan mewujudkan produk-produk baharu seperti Taman Herba.

Sementara itu, beliau berkata, pembangunan tasik tersebut akan memberikan limpahan pendapatan kepada penduduk setempat yang akan turut terlibat dalam pelbagai aktiviti perniagaan dan pekerjaan.

“Kita akan memastikan penduduk setempat turut mendapat manfaat dan saya menyeru penduduk supaya mengambil kesem­patan merebut peluang yang ada,”ujarnya.