Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, setiap pusat pelancongan perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan kerajaan termasuk dalam isu berpakaian tidak senonoh dan berbogel di tempat terbuka yang menyalahi undang-undang negara.

“Kita sebetulnya akan panggil dia (pengusaha terlibat) dan beri nasihat kalau tidak dengar kita tarik balik lesen, itu sahajalah.

“Nasihat saya kepada semua pengusaha pelancongan supaya jaga disiplin, beri nasihat kepada pengunjung mengenai peraturan termasuk jangan melakukan perbuatan tidak senonoh dan berbogel di tempat terbuka” katanya pada Majlis Diolog Pembangunan Eko-Pelancongan di sini hari ini.

Yang hadir sama Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Syefura Othman.

Pada 20 Mac lalu, sekumpulan wanita yang menginap di sebuah pusat peranginan di Bukit Tinggi di sini berkelakuan tidak senonoh di tempat awam dengan hanya memakai baju dan seluar dalam.

Sebelum ini, iaitu pada 22 Januari 2017 seramai 39 peserta satu program motivasi dipercayai melakukan tindakan melampau dengan berbogel dalam satu aktiviti sukan di kawasan padang pusat peranginan berkenaan. - UTUSAN ONLINE