Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, hal ini kerana bantuan awal psikologi mampu membantu individu yang mengalami stress dan krisis kehidupan yang mencabar.

Beliau berkata, dalam ber­depan pelbagai situasi kehidupan, ramai individu yang meng­hadapi masalah tekanan psikologi, krisis identiti atau keluar­ga dan kemurungan yang menjurus kepada kesihatan mental.

“Dengan memberi soko­ngan psikologi kepada individu berpotensi ini dapat memberikan mereka semangat untuk meneruskan kehidupan secara nor­mal,” katanya ketika merasmikan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2018 peringkat Maran di Felda Jengka 14 di sini kelmarin.

Menurut Syed Ibrahim, pendekatan bantuan awal psikologi menangani stress menjadi kaedah dan rawatan secara kaunseling kepada mereka yang dikenal pasti mempunyai masalah mental akibat pelbagai tekanan kehidupan.

Kata beliau, individu berkenaan perlu diberi kaunseling untuk mengawal reaksi dan emosi bagi menstabilkan perasaan mereka sekali gus menghargai setiap peluang yang dimiliki.

“Dalam konteks ini, institusi keluarga dan komuniti memainkan peranan penting dalam menjamin kesihatan mental anggota pelbagai usia termasuk warga emas yang berisiko terdedah kepada penyakit seperti kemurungan.

“Individu yang memasuki fasa usia 50-an biasanya berhadapan dengan cabaran dan tekanan kerana kemerosotan tahap kesihatan akibat pe­nyakit kronik, hilang upaya serta kurang bertenaga,” katanya.