Itulah yang dibuktikan Ahmad Syakir Hamdan, 35, dari Kampung Penjom, dekat sini apabila projek tanaman cili fertigasi yang diusahakannya membawa pula­ngan lumayan.

Ahmad Syakir berkata, dia mengerah keringat dengan di­bantu ahli keluarganya untuk mengusahakan projek tanaman berkenaan di kawasan seluas 0.4 hektar di kampung berkenaan sejak Mei lalu.

“Saya memulakan projek tanaman Cili Minyak 461 menggunakan modal sumbangan keluarga sebanyak RM12,000. Setelah tiga bulan, sebanyak 1,000 pokok cili ini mengeluarkan hasil sebanyak 1.8 tan metrik.

“Saya bersyukur hasilnya membawa pulangan lumayan,” katanya ketika ditemui di kampung tersebut baru-baru ini.

Menurutnya, fasa kedua projek tanaman cili tersebut bermula memandangkan ia mendapat permintaan tinggi di pasaran malah sudah ada pemborong dan peniaga yang menempahnya apabila hasil dikutip pada hujung bulan ini.

Katanya, dia terlibat dalam projek fertigasi itu selepas mendapat dorongan daripada ahli keluarga termasuk memberikannya modal bagi mengusahakan tanah pusaka yang terbiar berdekatan rumahnya.

"Semangat yang diberikan oleh ibu bapa dan ahli keluarga menyuntik semangat saya untuk mengubah haluan kerja daripada mengambil upah mencuci kenderaan kepada mengusahakan tanaman cili hybrid.

“Pembelajaran kaedah penanaman cili fertigasi menerusi siri kursus anjuran Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) di Kampung Telang dan Kuala Medang, di sini memberi saya keyakinan untuk memulakan projek ini sejak lima bulan lepas.

“Apabila tiba musim tuaian, sebanyak 300 kilogram cili dikutip setiap hari dan dipasarkan terus ke kedai runcit, pasar di bandar Kuala Lipis dan Pusat Pengumpulan Hasil di bandar Temerloh secara berperingkat,” katanya.