Situasi itu menyulitkan nelayan terutama yang menggunakan bot zon C, C2 dan A untuk melepasi muara berkenaan kerana boleh menyebabkan bot mereka tersangkut di beting pasir.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kuantan, Khalid Husin berkata, masalah itu sudah lama berlarutan dan beberapa kali diusulkan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) agar diangkat serta segera diselesaikan.

“Namun sehingga kini tiada sebarang tindakan sama ada untuk mendalamkan muara sungai tersebut. Dalam keadaan sekarang, nelayan terpaksa menunggu antara lapan hingga 12 jam untuk masuk mendaratkan ikan ke Kompleks LKIM di sini.

“Kami terpaksa menunggu air pasang besar baru boleh masuk. Kadangkala bot sampai malam terpaksa berkejar masuk bagi membolehkan ikan dijual atau dilelong secara terus kepada pe­raih seperti ditetapkan LKIM,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan di muara Sungai Kuantan di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang dan Pengarah LKIM negeri, Rashima Baharuddin.

Menurut Khalid, pendapatan nelayan dapat ditingkatkan antara 30 hingga 50 peratus jika muara sungai berkenaan dikorek dengan kedalaman 3.5 meter minimum agar enjin bot tidak tersangkut.

“Dengan laluan sekarang, hanya dua bot C sahaja yang boleh masuk pada satu-satu masa dan bayangkan kami ada kira-kira 250 buah bot bagi zon C,” ujarnya.

Sementara itu, Fuziah berharap masalah berkenaan dapat diselesaikan secepat mungkin dan mencadangkan agar proses mendalamkan muara sungai berkenaan diserahkan kepada pihak korporat yang mahu menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Kita sedia maklum dengan kekangan kewangan dan untuk jangka masa pendek saya menyeru badan-badan korporat agar melakukan CSR untuk membantu nelayan mengorek pasir bagi mendalamkannya.

“Saya rasa pihak pelabuhan boleh juga memainkan peranan kerana mereka memerlukan pasir untuk menambak dan untuk jangka panjang saya harap LKIM dapat membina benteng,” ujar­nya.

Dalam pada itu, Rashima memaklumkan bahawa keperluan mengorek pasir di muara sungai Kuantan bukan di bawah tanggungjawab LKIM dan peruntukan juga tidak disediakan.

“Bagaimanapun, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk membawa perkara ini selepas menerima usul daripada nelayan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran bagi tindakan seterus­nya.

“Malangnya, atas kekangan bajet tahun lalu LKIM tidak menamakan Kuala Kuantan untuk permohonan projek mendalamkan mua­­ra sungai kerana meng­utamakan lokasi lain yang lebih kritikal,” katanya.