Program dengan kerjasama Yayasan Muamalat Belia (YMB) itu diadakan di Pusat Equine Tanjung Lumpur di sini dan terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk menyertainya sama ada secara individu ataupun berkumpulan.

Pengarah Program Terapi Berkuda, Paiza Md. Dom berkata, peserta akan mengikuti program intensif belajar menunggang kuda daripada peringkat asas penunggangan sehingga mahir.

“Program Terapeutik Menunggang Kuda ini merupakan salah satu cara terapi minda selain merupakan antara kaedah senaman tubuh yang begitu berkesan kerana semasa kita menunggang kuda segala anggota badan dige­rakkan.

“Program intensif menunggang kuda diadakan secara mingguan dalam tempoh dua ke empat minggu dan peserta akan diberikan sijil penyertaan serta berpeluang menunggang kuda Pusat Equine Tanjung Lumpur selepas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Paiza berkata, YMB selaku penyelaras program mengalu-alukan pertubuhan sukan, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau sekolah-sekolah yang berminat untuk menyertai Program Terapeutik Menunggang Kuda secara berkumpulan supaya kemahiran menunggang kuda yang merupakan sukan sunnah dapat diperluaskan dengan sebaiknya.

“Pakej program intensif juga ditawarkan kepada peserta berkumpulan terdiri daripada 10 orang iaitu tiga hari dua malam dengan penginapan disediakan di Pusat Equine Tanjung Lumpur.

“Melalui program intensif itu, para peserta akan didedahkan dengan teknik penunggangan kuda yang betul, pengurusan kuda dan kandang,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Tlem, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, program terapeutik menyediakan manfaat dalam bidang kesihatan, pendidikan, sukan dan rekreasi.

“Selain manfaat terapeutik, menunggang kuda juga menyediakan peluang rekreasi terutamanya kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk menikmati aktiviti luar,” katanya.

Menurutnya, mana-mana pi­hak atau individu yang berminat boleh datang ke Pusat Equine Tanjung Lumpur untuk kete­rangan lanjut mengenai program berkenaan.