Pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias berkata, ikatan ukhuwah dan semangat sila­turahim perlu disuburkan supaya umat Islam dapat menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Kata beliau, ketaksuban politik melampau boleh menjadikan seseorang itu tidak rasional sehingga tidak bertegur sapa malah ada yang sanggup memutuskan ikatan persaudaraan.

“Islam sebenarnya agama me­nganjurkan konsep ber­-
maaf-maafan dan melupakan sengketa. Ke­pentingan kelompok dan parti serta pelbagai kepentingan lain boleh membantut usaha murni perpaduan Melayu di negara ini.

“Apa gunanya kita menyimpan dendam la-ma dan menimbulkan syak wasangka sesama saudara seagama. Ini ke-
rana Islam melarang pergaduhan dan pertelingkahan,” katanya ketika menyampaikan ceramah anjuran Pejabat Parlimen Kuala Krau yang dihadiri lebih 2,000 orang di Dataran Seroja Felda Jengka 18, di sini malam tadi.

Yang turut hadir Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Mohamed Jaafar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail dan Setiausaha Kanan Ahli Parlimen Kuala Krau, Mohamed Razali Mamat.

Menurutnya, umat Islam perlu beriltizam dengan semangat baharu untuk mendokong konsep ukhuwah Islamiah yang menjadi keutamaan melebihi kepentingan peribadi.

Beliau berkata, salah satu sifat utama yang mencerminkan keperibadian Muslim sejati adalah dengan mengukuhkan tali persaudaraan sesama Islam kerana Allah SWT.

Tegasnya, dengan mengambil iktibar daripada pergolakan politik di negara-negara Islam lain termasuk keadaan yang menimpa etnik Rohingya di Myanmar, orang Islam di negara ini perlu komited menggerakkan sema­ngat kesatuan bertunjangkan wasatiyah serta mengukuhkan persaudaraan.

“Jambatan silaturahim perlu dijaga atas dasar perjuangan agama, permuafakatan, saling membantu, berkasih sayang tanpa mengira kaum serta agama,” katanya.