Berasaskan hakikat itu, Rusli Ahmat, 42, dan Juraini Abu Kassim, 42, mengambil inisiatif menyuburkan kembali warisan itu dengan berniaga capal yang diperbuat daripada campuran plastik dan kulit haiwan tulen.

Pasangan suami isteri itu antara peniaga jualan but kereta di hadapan Bank Rakyat Bandar Inderapura dan Taman I-City Bandar Baharu Jerantut di sini pada setiap malam termasuk hujung minggu.

Rusli berkata, mereka memilih perniagaan capal kerana ia sukar diperolehi malah kebanyakan peniaga cuma berminat dengan jualan aksesori gejet, pakaian, kos­metik dan makanan peket.

“Saya memperoleh bekalan capal ini daripada seorang pengusaha di Utara Semenanjung dan dia yang memberi galakan supaya kami berniaga alas kaki ini.

“Perniagaan ini mampu bertahan kerana capal diminati oleh golongan dalam usia antara usia 45 tahun ke atas,” katanya ketika ditemui di Taman I-City Bandar Baharu Jerantut baru-baru ini.

Bapa kepada dua orang anak itu berkata, capal yang diperbuat daripada campuran kulit dan plastik dijual pada harga RM28 sepasang bagi saiz kanak-kanak dan RM39 bagi dewasa manakala RM89 ke atas bagi capal kulit.

“Saya tidak bimbang kerana perniagaan ini mampu bertahan sebab generasi Y juga berminat dengan capal bukan sahaja dipakai untuk ke majlis tertentu dan perkahwinan malah ia dijadikan koleksi peribadi,” katanya.

Juraini pula berkata, setiap kali jualan but kereta mereka dibuka pada pukul 9 malam hingga 12 te­ngah malam, antara empat hingga enam pasang capal dapat dijual.

“Saya dan suami akan terus menjual capal selagi warisan Melayu ini diminati serta dihargai oleh pelanggan walaupun terpaksa bersaing secara kompetitif dengan peniaga kasut moden dan berjenama,” katanya.