Pengerusi Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah negeri, Yunan A. Samad berkata, solat itu tiang agama yang perlu dilaksanakan secara ter­tib, mengikut rukun dan cara sebenar.

Katanya, walaupun ramai umat Islam menunaikan solat namun ramai juga yang didapati solat mereka bersifat ‘ikut-ikutan’ serta kurang faham tentang cara solat yang boleh menjejaskan sah ibadah berkenaan.

“Kerugian paling besar umat Islam jika solat mereka tidak diterima Allah SWT disebabkan kelalaian,” katanya ketika me­nyampaikan ceramah berkaitan kewajipan bersolat di Surau Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 18 di sini, semalam.

Menurut Yunan, dalam 13 rukun solat, ia dipecahkan kepada tiga bahagian iaitu Rukun Qalbi (rukun ke atas pekerjaan hati), Rukun Fi’il (rukun ke atas perbuatan atau gerak kerja) dan Rukun Qauli iaitu rukun ke atas ucapan atau kata-kata di mulut.

Majoritinya kata beliau, faham dan lulus dua rukun pertama iaitu Rukun Qalbi dan Rukun Fi’il tetapi ramai yang melanggar Rukun Qauli terutama mereka yang menjadi makmum dalam solat.

Menurutnya, ramai ketika bersolat sendirian mahupun ketika berjemaah membaca bacaan-bacaan solat di dalam hati.

“Kita ingat dengan bersolat dengan cara itu solat kita sah dan diterima Allah SWT tetapi kita khuatir solat itu tidak sah. Ada juga yang seperti membaca di bibir tetapi rupa-rupanya hanya bunyi angin yang keluar dari mulut yang tidak mengeluarkan bunyi bacaan,” katanya.

Tambahnya, terdapat lima Rukun Qauli yang sering dilanggar di dalam solat iaitu tidak takbir ‘Allahu Akbar’ dengan menyebut atau melafaz jelas di bibir.

Kesilapan lain, katanya, ialah tidak membaca surah al-Fatihah dan tahiyat akhir serta selawat secara lafaz di rakaat terakhir.

Di samping itu, ujarnya, kesilapan lain yang sering berlaku adalah tidak memberikan salam ‘Assalamualaikum Warahmatullah’ secara lafaz juga.

“Dalam Rukun Qauli, kita perlu menyebut atau melafaz bacaan yang perlu kita sebut dan lafazkan sehingga terdengar pada te­linga kita sendiri.

“Cukup sekadar untuk dide­ngari di telinga kita sendiri dan tidak wajib ke atas semua bacaan solat tetapi hanya pada lima tempat iaitu semasa takbiratul ihram, membaca surah al-Fatihah, tahiyat akhir, membaca selawat pada rakaat terakhir dan semasa lafaz salam," katanya.