Dalam perlawanan akhir di Padang FA di sini itu, kedua-dua pasukan mempamerkan kehebatan masing-masing sehingga kejuaraan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti setelah terikat tanpa jaringan.

Penjaga gol SMKTAHAP, Muhammad Haiqal Jamaluddin, 17, muncul wira pasukannya apabila menyelamatkan sepakan penalti terakhir lawan untuk memastikan sekolah ber­kenaan muncul juara dengan keputusan 5-4.

Ketua jurulatih sekolah itu, Fariduddin Othman berkata, dia tidak menyangka pasukannya mampu mengekalkan kejuaraan selepas perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Apatah lagi, katanya, seorang pemainnya gagal menyempurnakan sepakan penalti ketiga dan ketika itu pasukan lawan sudah bersorak kegembiraan.

“Kami bernasib baik apabila sepakan ketiga lawan juga gagal disempurnakan sebelum Muhammad Haiqal menepis keluar sepakan terakhir lawan,” kata­nya di sini.

Menurut Fariduddin, kemenangan tersebut juga menjadi pengubat duka sekolah berke­naan apabila sekadar muncul naib johan bagi kategori bawah 15 tahun.

Katanya, latihan yang dijalankan pasukan tersebut sejak Januari lalu, ternyata berbaloi apabila berjaya mengekalkan kejuaraan bagi kategori 18 tahun Kejohanan Bola Sepak MSSD Jerantut.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan guru yang membantu melatih pemain serta sokongan padu daripada Pengetua, Syed Mahdzir Syed Nordin,” katanya.