Peranti yang dinamakan Smart Portable Energy Device atau singkatannya Speed itu merangkul hadiah utama dengan mengatasi 31 peserta lain dalam kategori sama sekali gus mengulangi kejayaan pada i-FINOG 2016.

Wakil murid berkenaan, Qarira Aina Azhari 12, berkata, peranti itu adalah hasil penyelidikan bersama dua lagi rakannya iaitu Yasmin Batrisyia Zaidi, 12, dan Aisyah Humyra Johan, 12.

“Kami hanya mengambil masa seminggu untuk mencipta peranti ini yang mampu menghasilkan tenaga elektrik sehingga lima volt. Kami bertiga berkongsi duit dan hanya bermodalkan RM50 untuk membeli komponen diperlukan seperti turbin, motor DC, wayar dan beberapa bahan lain.

“Peranti yang dihasilkan ini berfungsi dengan bantuan arus air yang akan memutarkan turbin. Manakala turbin tersebut pula membantu memusingkan motor DC sebelum tenaga elektrik dihasilkan. Ini bermakna semakin laju arus air, semakin kuat tenaga elektrik dihasilkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup i-FINOG 2018 kelmarin.

Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Datuk Seri Ibrahim Ahmad dan turut dihadiri Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Seri Dr. Daing Nasir Ibrahim.

Pada majlis sama, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Jaya, Selangor merangkul hadiah utama bagi kategori sekolah menengah kebangsaan dengan menghasilkan alat yang boleh mengesan kebocoran paip air.

Bagi kategori institusi pengajian tinggi, wakil UMP berjaya memenangi hadiah utama dengan menghasilkan penyelidikan resin untuk rawatan air.

Qarira Aina berkata, peranti tersebut boleh digunakan untuk mengecas telefon bimbit dan beberapa alat elektrik yang lain serta mudah di bawa ke mana-mana.

Menurutnya, alat itu dihasilkan khas untuk kegunaan individu yang suka melancong atau berkhemah bagi memudahkan mereka menggunakannya pada alat telekomunikasi mereka seperti telefon bimbit.

Sementara itu, Daing Nasir berkata, program tersebut dilihat sebagai landasan tepat bagi mencungkil bakat pelajar dalam bidang inovasi dan penyelidikan sekali gus memberi pendedahan dan kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan mereka melalui penghasilan pelbagai produk berkonsepkan teknologi hijau.

Katanya, seramai 604 peserta terdiri daripada pelbagai kategori termasuk sekolah rendah, sekolah mengah, institusi pengajian tinggi dan ahli akademik menyertai program berkenaan.

“Program seperti ini bukan sahaja memupuk minat mereka dalam penghasilan inovasi dan penyelidikan malah ia juga sebagai peluang untuk mereka meningkatkan tahap kreativiti dengan menghasilkan penyelidikan yang kreatif dan inovatif,” ujarnya.