Operasi bermula pada pukul 10.30 pagi itu diketuai Ketua Unit Penguatkuasaan MDL, Zamrah Abu Bakar dengan lapan anggota dari Jabatan Pele­senan dan Penyitaan.

Menurut Zamrah, tindakan merampas peralatan adalah arahan Yang Dipertua (YDP) MDL, Mohd. Hafizi Ibrahim selepas tiga kali amaran dikeluarkan termasuk kompaun sebanyak RM250 sebelum ini, namun penjaja terbabit masih berdegil.

“Mereka (penjaja haram) datang dari luar membuka gerai di tepi laluan CSR Lipis - Merapoh yang sibuk dengan kenderaan dan lokasi tersebut berdekatan lampu isyarat Ladang Selborne, Kechau sejak awal minggu ini.

“Tindakan menyita peralatan penjaja haram berkenaan sebagai pengajaran supaya mereka tidak mengulangi perbuatan tersebut iaitu berniaga di kawasan lara­ngan,” katanya kepada pemberita selepas Op Penjaja Haram di Kechau dekat sini semalam.

Zamrah berkata, tindakan sita itu di bawah Seksyen 3, Undang-undang Kecil Penjaja MDL 1988 dan sekiranya didapati bersalah di mahkamah boleh disabitkan denda sebanyak RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, menurut Mohd. Hafizi, tindakan sita dilakukan berikutan penjaja haram masih berdegil dan tidak menghiraukan papan tanda la­rangan berniaga yang telah dipasang termasuk larangan membuang sampah.

“Kita memandang serius perkara ini kerana tindakan penjaja berkenaan dikhuatiri boleh mengundang kemalangan apabila pemandu memberhentikan kenderaan sesuka hati di laluan CSR yang sibuk untuk membeli makanan dan berehat.

“Tindakan tegas penguatkuasa MDL ini juga berikutan ba­nyak sampah dibuang berdekatan gerai penjaja malah merata-rata sepanjang laluan CSR sehingga menyebabkan kekotoran dan pencemaran,” katanya.