Pengurus Besar Pe­matuhan Kese­lamatan dan Pengawalan Radiasinya, Prof. Ismail Bahari berkata, Jawatankuasa Semakan Lynas yang ditubuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga tidak memberi sebarang petunjuk bahawa peningkatan konsentrasi logam berat di dalam air bawah tanah adalah disebabkan operasi Lynas.

"Tanah di daerah ini secara semulajadi lebih tinggi dalam nikel dan kromium daripada residu Lynas.

"Kami yakin bahawa tidak mungkin logam berpindah daripada residu Lynas ke dalam air bawah tanah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh sebelum ini dilaporkan berkata, air bawah tanah di bawah Lynas tercemar dengan logam berat.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan mendakwa bahawa air bawah tanah yang tercemar akan memberi kesan kepada penduduk kampung yang tinggal di sekitar Gebeng kerana sebahagian daripada mereka masih bergantung kepada telaga tiub untuk kegunaan harian mereka.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mempersoalkan pendirian kerajaan mengenai laporan Jawatankuasa Semakan Lynas yang mendapati bahawa sebarang peningkatan dalam kepekatan logam berat di dalam air bawah tanah bukan disebabkan oleh operasi Lynas.

Sementara itu, dalam satu kenyataan terdahulu, Ismail berkata, jawatankuasa ber­kenaan yang terdiri daripada pakar dalam pelbagai bidang telah menyatakan bahawa operasi Lynas adalah berisiko rendah, mematuhi peraturan berkaitan dan kemudahan penyimpanan residu dikendalikan dengan cara selamat serta diluluskan oleh pengawal selia.

Jawatankuasa tersebut juga, katanya, menyatakan bahawa Lynas merupakan syarikat pengeluaran nadir bumi dan ia tidak boleh dibandingkan dengan loji nuklear atau kilang yang menghasilkan thorium atau uranium.

"Risiko sinaran tidak ditentukan oleh separuh hayat sesuatu bahan sahaja tetapi lebih pen­ting oleh tahap pendedahan.

"Malaysia mengguna pakai tahap pendedahan yang dibenarkan oleh Suruhanjaya Antarabangsa Bagi Perlindungan Radiologi (ICRP) untuk kedua-dua pekerja dan orang awam yang mana Lynas mematuhi sepenuhnya tahap ini,” katanya.