Yang Dipertua Persatuan Seni Silat Gayung Malaysia (PSSGM), Datuk Adiwijaya Abdullah berkata, sehubungan itu pihaknya akan memfokuskan penyertaan golongan muda da­lam PSSGM bagi membentuk generasi baharu yang terbaik.

“Silat gayung akan mencuba sebaik mungkin mendampingi anak muda demi untuk membantu kerajaan mengurangkan gejala sosial kerana kita tidak mahu melihat anak-anak Melayu kita terbabit dengan gejala sosial.

“Apabila anak-anak muda-muda ini mendampingi silat mereka akan berlatih dan keletihan. Jadi peluang dan ruang untuk mereka melepak agak terhad malah mereka ini didampingi guru yang me­ngajar silat berteraskan kepada keislaman,” katanya pada majlis perasmian Gelanggang Silat Gayung Saidina Umar al-Khattab di Masjid al-Makmur Desa Damai, di sini semalam.

Menurut Adiwijaya, pada masa ini terdapat lebih 80,000 ahli PSSGM di seluruh negara dengan keahlian yang terus meningkat dari semasa ke semasa.

Justeru katanya, pihaknya juga akan meningkatkan lagi pembinaan gelanggang-gelang­gang silat di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak pada tahun hadapan.

Dalam pada itu, katanya, bagi menggalakkan anak-anak muda mendekati masjid dan surau pihaknya akan membuka lebih banyak gelanggang silat di kawasan yang berhampiran masjid dan surau.

“Kalau di Pahang inilah ge­langgang terakhir pada tahun ini dan insya Allah pada 2019 kita akan memperbanyakkan lagi gelanggang di seluruh ne­geri yang mana kita hendakkan kalau boleh biarlah gelanggang-gelanggang ini ada bersangkutan dengan surau dan masjid,” ujarnya.