Menerusi usaha itu, program Alam Flora Nature Camp 2017 terus menjadi program tahunan dalam usaha mewujudkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar khususnya dalam kalangan remaja.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd. Zain Hassan berkata, program yang berinspirasikan tema ‘Masa Hadapan Dunia Adalah Anda’ sangat bertepatan sekali gus menjadi kesinambungan program nature camp yang berpaksikan kepada kesedaran dan penghargaan terhadap alam sekitar.

Menurutnya, selain itu, pe­nganjuran program berkenaan turut memberi tumpuan kepada kesejahteraan kehidupan dan membantu memberi keseimba­ngan terhadap keharmonian alam sekitar.

“Dalam aspek kemajuan, kita perlu mengambil langkah seimbang daripada aspek pembangunan dan penjagaan alam sekitar.

“Oleh itu, seramai 60 anak-anak flora yang terdiri daripada anak kakitangan bukan eksekutif Alam Flora dan rakan kontraktor dibawa menyertai program selama tiga hari ini bertujuan memupuk semangat cintakan alam sekitar dan bina jati diri,” katanya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohd. Zain berkata, program yang mema­suki tahun ketujuh itu dilihat memberi impak tinggi khususnya dalam memberi pendidikan dan pendedahan secara terus tentang aspek penjagaan alam sekitar.

“Adalah menjadi harapan kami agar semua peserta yang me­nyertai program ini dapat menjadi contoh serta melakukan transformasi khususnya dalam diri mereka ke arah menyelamatkan bumi untuk masa akan datang.

“Saya berharap agar program seumpama ini dapat diperluaskan oleh semua pihak dan di pihak Alam Flora akan terus menjayakan program ini untuk masa akan datang,” katanya.