Program dua hari dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Majlis Belia Pahang itu diadakan di Felda Chemomoi, Felda Kemasul dan Felda Sungai Kemahal.

Pengerusi Biro Ekonomi dan Keusahawanan KAF, Datuk Amizar Abu Adam berkata, program berkenaan merupakan antara pendekatan terbaik untuk mendekati, membimbing dan membantu masyarakat melalui penganjuran pelbagai program.

“Kita bersyukur kerana program yang mempunyai pelbagai aktiviti ini mendapat sambutan baik daripada masyarakat setempat termasuk golongan muda.

“Kemuncak kepada program ini ialah kehadiran Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob yang turut menyampaikan amanat beliau kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Bual Bi­cara Agama di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini.

Menurut Amizar, antara akti­viti yang dijalankan ialah program munajat perdana, gotong-royong membersihkan masjid dan kubur, kursus sembelihan halal, pertandingan memasak serta sukan rakyat.

Kemuncak program ber­ke­naan, kata beliau, adalah Program Bual Bicara Agama bersama Pencetus Ummah (PU) Mizi dan penceramah Nik Ibrahim Nik Abdullah.

“Kita turut mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Rehlah dengan menjejaki lebih 30 buah rumah bagi memberi bantuan dan sumba­ngan.

“Berdasarkan kepada kejayaan dan sambutan yang baik dalam program ini, kita merancang me­laksanakannya lagi pada masa akan datang,” katanya.