Pemilik dusun berkenaan, Mohd. Khuzairi Bidin, 44, berkata, program tersebut di­sertai seramai 250 orang bermula pukul 12.30 tengah hari dan dia menyediakan hampir satu tan metrik pelbagai jenis durian untuk dinikmati pengunjung.

“Setiap pengunjung yang membuat tempahan awal hanya perlu membayar RM28 untuk menikmati pelbagai jenis durian sepuas-puasnya termasuk D2 dan D24,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Menurut Mohd. Khuzairi, program kali kedua itu bertujuan memberi peluang kepada orang ramai untuk menikmati durian memandangkan harga pasarannya yang agak tinggi.

Katanya, dia gembira memandangkan pengunjung berpuas hati dan mengucapkan terima kasih kepadanya kerana menganjurkan program itu malah ada yang ingin membuat tempahan untuk datang secara berkumpulan selepas ini.

“Saya mempunyai 182 pokok durian pelbagai jenis yang dita­nam di atas tanah seluas empat hektar sejak lapan tahun lalu.

“Alhamdulillah, tahun ini du­rian di kebun saya mengeluarkan hasil tiga kali setahun. Rezeki yang Allah SWT beri ini saya kongsikan bersama orang ramai,” ujarnya.

Tambahnya, selain makan durian di khemah yang disediakan, pengunjung juga berpeluang merasai pengalaman mencari durian yang gugur.

Katanya, dia merancang untuk mengadakan program sama selepas ini bergantung kepada hasil buah durian ada di dusunnya itu.