Penganjuran program tersebut merupakan simbolik pembukaan Expokonvo UMP 2017 sempena Majlis Konvokesyen Kali ke-12 yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 18 November ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Datuk Dr. Yuserrie Zainu­ddin berkata, program sebagai pembuka tirai itu membabitkan persembahan tarian kebudayaan dan nyanyian daripada Kumpulan Kencana Pawana dan Kustari Borneo kendalian Sekretariat Kebudayaan serta Kesenian UMP serta persembahan kompang.

“Melalui penganjuran seperti ini kita dapat mengetengahkan bakat mahasiswa dalam seni tari selain menampilkan kreativiti mereka.

“Dalam masa yang sama, kita dapat memperkenalkan UMP kepada khalayak ramai dan menjadi sebahagian program Tahun Melawat Pahang 2017 sebagai tarikan pelancong ke negeri Tok Gajah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Yuserrie, pihak universiti sentiasa mengalu-alukan pe­nyertaan mahasiswa dalam bidang kokurikulum seperti aktiviti kebudayaan dalam melahirkan graduan lebih kompeten dan berdaya saing.

“Terdapat lebih 70 kelab dan persatuan di UMP sebagai platform mahasiswa mengasah bakat ma­sing-masing agar lebih kreatif serta berinovasi sebagai bekalan apabila berdepan alam pekerjaan kelak.

“Program santai seni ini khususnya adalah ruang untuk kita mempamerkan bakat mahasiswa bahawa mereka bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi berbakat besar,” jelasnya.

Tambahnya, sepanjang Expo­konvo UMP 2017 dan Majlis Konvokesyen Kali ke-12 pengunjung terutama ahli keluarga para gra­duan boleh mendapatkan maklumat terkini berkaitan universiti serta mengambil bahagian dalam setiap aktiviti kendalian mahasiswa.

Sementara itu, katanya, UMP bakal menjadi tumpuan pemancing sempena penganjuran Pertandi­ngan Memancing Terbuka Expokonvo dengan kerjasama Kumpulan Utusan pada 11 November ini di Tasik UMP Pekan dekat sini.

“Manakala terdapat lebih 60 gerai jualan dan ExpoBazar UMP untuk dikunjungi. UMP juga mengadakan Pameran Mutiara Mahkota Tuanku Canselor yang menempatkan koleksi gambar menarik serta cenderamata untuk dimiliki di Galeri UMP.

“Memeriahkan Expokonvo adalah segmen pendidikan untuk pelajar sekolah termasuklah Program Spell It Right, Choral Spea­king, Street Science @Gallery dan pertandingan Mewarna dan Pakaian Beragam khusus untuk kanak-kanak,” katanya.