Zaidi Mamat, 30, bersama rakannya, Wan Mohd. Adham Wan Mohamad, 27, Muhamad Ikhwan Zainuddin, 19, dan Wan Syamsul Izwan Wan Nazaruddin, 24, yang juga merupakan pemandu pelancong dari Sgi Outdoor Merapoh teruja apabila berjaya melakar sejarah tersendiri.

Menurut Zaidi, dia dan rakan nekad menyambut hari raya di puncak Gunung Tahan sejak Hari Raya Aidilfitri lepas, tetapi ditangguhkan akibat cuaca tidak menentu.

“Tetapi, menjelang Hari Raya Aidiladha tahun ini, ada sekumpulan pendaki dari Kuala Lumpur menggunakan pakej perkhidmatan pemandu pelancong syarikat kami dan bertepatan pula dengan hari raya.

“Kami berempat berlepas dari Kem Relau, Merapoh dengan se­ramai 20 orang pendaki pada pagi Selasa lalu dan tiba di puncak Gunung Tahan setinggi 2,184 meter pada pukul 7 pagi, hari Jumaat ketika umat Islam sedang bertakbir dan bertahmid,” katanya di Kem Relau, Merapoh sejurus menamatkan Ekspedisi Semarak Merdeka anjuran Sgi Outdoor Merapoh, di Kem Sungai Relau, Merapoh semalam.

Zaidi berkata, dia serta tiga rakan pemandu pelancong turut bertakbir dan bertahmid di puncak Gunung Tahan dan ke­mudian­nya mengibarkan Jalur Ge­milang yang kebetulan suasana Hari Kebangsaan Ke-60.

“Selama sejam menyambut kemeriahan Hari Raya Aidiladha dan Hari Kebangsaan bersama pendaki lain sambil menikmati biskut dan minuman serta me­ngibarkan Jalur Gemilang dengan perasaan sungguh tidak dapat digambarkan,” ujarnya.

Sementara itu, bagi Wan Mohd. Adham, bagaikan ‘pucuk dicita, ulam mendatang’ apabila berpeluang meraikan Aidiladha di puncak Gunung Tahan dengan lengkap berbaju Melayu.

“Kumpulan pendaki di bawah pengawasan kami turut teruja dan ada yang terkejut apabila melihat saya dan rakan menukar pakaian ekstrem mendaki de­ngan mengenakan sepasang baju Melayu, bersongkok sambil me­ngibarkan Jalur Gemilang.

“Pengalaman berhari raya di puncak Tahan ini sungguh unik dan amat berpuas hati lebih lagi setelah bekerja sebagai pemandu pelancong hampir 10 tahun di sini,” katanya.

Seorang pendaki, Chai Jun Jin, 30, berkata, dia tidak menyangka keempat orang pemandu pelancong itu mengenakan baju Mela­yu dan bersongkok apabila sampai di puncak gunung.

“Rancangan mereka sebenar­nya kami tidak tahu dan lebih banyak bercakap soal alam sekitar, flora, fauna, hutan tropika dan suasana di gunung,’’ ujarnya lagi.

termasuk menumpukan keselamatan kami semasa pendakian sejauh 36 Kilometer,” katanya.

Katanya, rombongan pendaki itu turut kagum dengan semangat jati diri keempat pemandu pelancong itu apabila mengibarkan Jalur Gemilang di puncak gunung yang tertinggi di Semenanjung itu.