Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, beberapa rumah rakit yang lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk pendingin hawa seperti Rumah Rakit Temerloh sentiasa mendapat kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara.

Pemilik Rumah Rakit Temerloh, Salleh Saharom berkata, potensi besar rumah rakit di sungai itu mendorongnya membulatkan tekad membinanya pada 2015 de­ngan modal permulaan kira-kira RM30,000 termasuk untuk membeli bot.

Katanya, sambutan yang dite­rima daripada pengunjung adalah menggalakkan khususnya pada hu­jung minggu apabila tempahan diterima awal sebulan.

“Pada masa ini, saya mempu­nyai tiga buah rumah rakit dan empat bilik bajet selain 20 bot yang disewakan.

“Alhamdulillah, ia mendapat sambutan yang baik bukan sahaja daripada masyarakat setempat tetapi pelancong luar yang datang bersantai atau memancing khususnya peminat udang galah,” katanya ketika ditemui di rumah rakitnya berhampiran Kampung Pangsenam di sini, hari ini.

Menurut Salleh, kadar sewa rumah rakit berkenaan ditawarkan pada harga berpatutan iaitu RM250 sehari semalam bagi yang mempunyai pendingin hawa dan RM150 (berkipas) dan RM50 bagi bilik bajet.

Selain itu, katanya, dia menyewakan bot kepada pemancing de­ngan bayaran berpatutan berdasarkan kepada kapasiti kuasa enjin dan jumlah hari sewaan.

“Konsep rumah rakit ini sema­kin mendapat tempat apabila bukan sahaja individu tetapi keluarga dan syarikat turut berminat serta menjalankan aktiviti di daerah ini yang merupakan ‘titik tengah’ Semenanjung Malaysia.

“Insya-Allah saya bercadang untuk membina lebih banyak rumah rakit pada masa akan datang selain pelbagai kemudahan lain seperti kedai makan,” katanya.

Mereka yang berminat menik­mati pengalaman di Rumah Rakit Temerloh boleh menghubungi Sal­leh di talian 019-9420515.