Pengusahanya, Norhafizah Ahmad berkata, pusat pengajian al-Quran itu ditubuhkan bagi menyempurnakan tanggungjawab mendidik dan memberi peluang kepada umat Islam khususnya kanak-kanak mempelajari membaca al-Quran sehingga lancar berasaskan tajwid yang betul.

“Penubuhannya untuk membantu umat Islam membaca kitab suci ini dengan bantuan lima tenaga pengajar berasaskan ka­edah pembelajaran Al-Hidayah.

“Pusat pembelajaran ini merupakan cawangan RNAH di Jalan Penjara, Kuantan yang diusahakan oleh Az Zubair Dot Com dan Pertubuhan Sukarelawan al-Quran Pahang (Asuh),” katanya selepas majlis perasmian pusat pembelajaran berkenaan baru-baru ini.

Yang hadir sama Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris dan pengasas kaedah pem­belajaran Al-Hidayah, Zubair Malik.

Menurut Norhafizah, RNAH pada mulanya beroperasi di sebuah kediaman di Taman Inderapura, di sini setahun lalu sebelum berpindah dengan menyewa sebuah premis di Taman Wawasan.

Katanya, perpindahan lokasi pembelajaran itu perlu dilakukan berikutan bilangan pelajar sema­kin bertambah dan pada masa ini terdapat seramai 70 orang berusia antara lima hingga 55 tahun.

“Pusat pembelajaran baharu ini memudahkan kelas mengaji al-Quran dijalankan mulai pukul 8.30 pagi hingga 10 malam. RNAH masih memerlukan bantuan dan sokongan orang ramai untuk menyediakan kelengkapan seperti perabot, karpet, meja serta komputer kerana kekurangan dana pengurusan,” ujarnya.

Sementara itu, Zubair yang juga penulis dan penerbit buku Al-Hidayah berkata, pendekatan pengajaran al-Quran bermula di peringkat asas menggunakan kaedah tersebut.

“Kursus belajar al-Quran yang kita tawarkan bermula di peringkat asas menerusi kaedah al-Hidayah secara intensif selama tiga atau empat hari bagi pelajar yang belum boleh membaca al-Quran.

“Kaedah ini sudah terbukti berkesan apabila seorang mualaf berusia 54 tahun di sini mampu membaca al-Quran dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Nazlan berkata, dengan wujudnya RNAH di bandar ini, lebih ramai golo­ngan celik al-Quran dapat dilahirkan sekali gus melebarkan usaha dakwah iaitu dapat membanyakkan lagi golongan hufaz.