Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keempat-empat teras itu disokong dengan 33 dasar perancangan dan 97 strategi yang mampu menjadikan Pahang sebagai sebuah negeri berdaya maju dalam tempoh lebih 30 tahun lagi.

Beliau berkata, 'Pahang Cemerlang 2050' adalah berasaskan teras Ekonomi Berdaya Maju, Spatial Seimbang, Keles­tarian Alam Sekitar dan Kese­jahteraan Sosial mengambil kira semua pandangan serta input daripada agensi dan jabatan teknikal yang berkepentingan.

“RSN ini merupakan dokumen yang menyediakan rangka kerja perancangan bertujuan memandu dan mengawal pembangunan fizikal di peringkat negeri sebagaimana peruntukan Seksyen 8 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172)" katanya ketika merasmikan RSN Pahang 2050 sempena Hari Pe­rancangan Bandar Sedunia pe­ringkat negeri di sini hari ini.

Yang hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan ne­geri, Abd. Rahim Muda dan Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Harizah Hassan.

Menurut Wan Rosdy, antara projek yang disenaraikan ialah cadangan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman di bawah Teras 1 dan pemuliharaan Tioman sebagai 10 pulau terindah dunia di bawah Teras 2.

Katanya, kerajaan negeri turut merancang menjadikan Taman Negara Pahang sebagai Tapak Warisan Dunia Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) serta memperkasakan Pengurusan Rizab Biosfera Tasik Chini sebagai Tapak Biosfera Negara di dalam Teras 4.

“Kita berharap RSN ini secara tidak langsung menjadikan Pahang sebuah negeri yang mempunyai kestabilan politik jitu dengan pengurusan ekonomi sistematik yang dapat membina persekitaran rakyat lebih berkualiti,” katanya.