Kelebihan Sungai Rompin ialah menjadi habitat udang galah sekali gus mengundang peminat dan penggemarnya berkunjung ke situ terutama dari Januari hingga April yang lazimnya merupakan musim haiwan dengan nama saintifiknya macrobrachium rosenbergii itu.

Udang galah diperoleh di daerah ini juga popular kerana memiliki rasa yang segar dan manis sama ada bersaiz kecil mahupun besar.

Maka tidak hairanlah ia mendapat perhatian dan digilai kaki pancing dari merata tempat termasuk dari Kuala Lumpur, Negeri Sembilan serta beberapa kawasan lain.

Keadaan ini turut menyaksikan kebanyakan kedai makan di daerah ini pasti mempunyai menu berasaskan udang galah selain menjadi punca rezeki kepada penduduk terutama nelayan tempatan.

Mereka yang gigih berusaha dengan pelbagai kegiatan seperti memancing, menangkul, menjala atau menahan bubu dan geluguh di Sungai Rompin pasti menikmati labanya.

Nelayan dan penduduk tempatan juga memperoleh pendapatan tambahan dengan menyewakan bot kepada kaki pancing bagi memudahkan mereka bergerak mencari lubuk yang sesuai.

Selain mendapat hasil, keseronokan menangkap udang galah menyebabkan kaki pancing sanggup berdepan cuaca panas terik memandangkan masa yang digalak­kan untuk keluar adalah awal pagi dan kembali semula menjelang senja.

Seorang penduduk dari Kampung Sepayang di sini, Lut Ahmad, 30, berkata, apabila musim menjelma, berduyun-duyun peman­cing ke daerah ini bagi mencuba nasib menaikkan udang galah yang terkenal di seluruh negara.

Katanya, jika menemui lubuk dan menggunakan peralatan bersesuaian, seorang kaki pancing mampu memperoleh kira-kira dua kilogram udang galah sehari.

“Udang galah di sini mempunyai pelbagai saiz yang dikategorikan penduduk setempat dengan gred A iaitu untuk bersaiz besar diikuti B dan C.

“Sekiranya datang ke sini pada musim udang galah iaitu semasa cuaca panas kering, insya-Allah pengunjung tidak akan kecewa untuk mendapat hasil,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sementara itu, Nasri Jamil, 22, dari Tawau, Sabah yang merantau mencari rezeki di Kampung Sepa­yang pula berkongsi tip dan petua menangkap udang galah kerana teknik memancing tidak betul boleh menyebabkan tangkapan terlepas atau tidak mengena langsung.

Menurutnya, joran sesuai digunakan perlu mempunyai bahagian hujung yang sensitif dan mudah lentur dengan mata kail tanpa kait manakala batu timah pula jenis ringan.

Katanya, nelayan tempatan di daerah ini lazimnya menggunakan umpan cacing atau umpun-umpun yang menjadi kegemaran udang galah.

“Masa paling sesuai adalah ketika air surut dan tidak berasa masin. Pemancing perlu bergerak dari satu tempat ke tempat lain untuk mencari lubuk udang galah yang biasanya bergerak secara berkumpulan,” katanya.

Dalam pada itu, Faizul Basiron, 24, dari Kampung Simpang Sepa­yang menjadikan aktiviti menangkap udang galah di Sungai Rompin sebagai pendapatan sampingan memandangkan rumahnya terletak berhampiran dengan kawasan itu.

Pengawal keselamatan itu berkata, aktiviti menangkap udang galah sudah sebati dalam dirinya dengan hasil tangkapan dipasarkan kepada penduduk setempat, peniaga yang membuat tempahan atau dimakan sendiri.

“Sejak kecil saya bersama rakan-rakan sering turun sungai di belakang rumah menangkap udang galah, ikan dan ketam. Kini apabila dewasa saya menggunakan pengalaman itu untuk menambah pendapatan,” katanya.