Ketua Bahagian Operasi PPM Wilayah Tiga, Deputi Superintenden Mohd. Razlin Abd. Manaf berkata, rokok seludup jenama U2 itu ditemukan dalam sebuah lori dipandu seorang lelaki ber­usia 61 tahun dari Perkampungan Seri Setali, di sini.

Katanya, serbuan kira-kira pu­kul 3.30 petang itu dilakukan sepasukan anggota diketuai pegawai serbuan Asisten Supe­rintenden Rizalman Zulkifli yang melakukan risikan selama dua minggu selepas mendapat maklumat orang awam.

“Rokok seludup berkenaan di­percayai dibawa dari Kelantan untuk dipasarkan di negeri ini serta Terengganu dan ia adalah kali pertama suspek ditahan. Kita sedang mengesan majikannya untuk siasatan lanjut.

“Lori berkenaan yang dianggarkan bernilai RM150,000 turut dirampas yang menjadikan jumlah keseluruhan rampasan pada operasi berkenaan adalah RM844,000,” katanya dalam sidang di Markas PPM Wilayah Tiga di sini malam semalam.

Mohd. Razlin berkata, kes yang disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 itu akan dirujuk kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut.

“PPM akan meneruskan operasi untuk membanteras kegiatan penyeludupan rokok seludup dan memohon kerjasama daripada orang ramai,” katanya.