Namun, dia tidak berputus asa dengan cuba menanam po­kok rock melon atau tembikai wangi yang dilihat tidak memerlukan tenaga buruh yang banyak dan tidak melibatkan kos tinggi.

Keputusannya menanam po­­­kok itu membawa hikmah apabila dia yang merupakan pe­rin­tis tanaman berkenaan kini menjadi pengusaha buah rock melon yang berjaya.

Rosdi berkata, kira-kira 8.5 hektar kawasan penanaman rock melon yang diusahakannya mengeluarkan hasil purata kira-kira 60 tan metrik setiap bulan.

“Alhamdulillah, pada masa ini permintaan tinggi dan de­ngan jadual penanaman yang baik membolehkan saya mengeluarkan hasil disasarkan setiap bulan.

“Tanaman buah rock melon ini yang boleh dituai dalam tempoh 70 hari juga tidak memerlukan pekerja ramai untuk memetik buah yang boleh dilakukan hanya dalam masa sehari berbanding cili yang perlu dipetik setiap hari,” katanya ketika ditemui di Ladang Rock Melon Kuala Medang baru-baru ini.

Menurut Rosdi, ketika ini dia mampu menanam kira-kira 10,000 pokok rock melon bagi setiap kawasan tanah seluas 0.4 hektar dan buah berkenaan te­rus mendapat permintaan yang tinggi sehingga masih belum mampu memenuhi permintaan.

Dia memberitahu, buah rock melon dihasilkannya juga mendapat perhatian dari negara luar dan dalam proses untuk dieks­port khususnya ke Jepun dan Taiwan.

“Harga rock melon adalah stabil yang mana harga lantai ditetapkan pada masa ini ialah RM3.10 sekilogram dan saya bersyukur kerana turut mendapat kontrak untuk membekalkannya kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA),” ujarnya.