Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Rashima Baharuddin berkata, daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya RM2.5 juta setahun atau RM213,000 sebulan diperuntukkan kepada seramai 745 nelayan di kawasan ini.

Katanya, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, kerajaan menyalurkan bayaran sara hidup sebanyak RM424,400 kepada 745 nelayan di seluruh kawasan Kuantan.

“Program ini adalah sebagai salah satu usaha kerajaan untuk membantu meringankan beban golongan nelayan dalam meng­hadapi tekanan ekonomi dise­babkan kenaikan harga bahan bakar global.

“Ia juga merupakan insentif kepada industri perikanan supaya kekal berdaya maju,” kata­nya ketika berucap dalam majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Secara Tunai Persatuan Nelayan Kawasan Kuantan yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif di Dewan Orang Ramai Kampung Peramu di sini kelmarin.

Pada majlis yang turut dihadiri Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Seri Abdul Hamid Nazahar itu, seramai 390 nelayan dalam Parlimen Kuantan mene­rima elaun sara hidup dengan jumlah keseluruhan RM111,100.

Menurut Rashima, LKIM turut menyediakan kemudahan insurans kepada nelayan sebagai persediaan kewangan luar jangka jika berlaku kejadian tidak diingini termasuk kehilangan nyawa.

Di samping itu, katanya, lembaga berkenaan menyediakan peruntukan di bawah Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan dalam bentuk sumbangan wang tunai bagi kes-kes kematian, kecederaan, kecacatan, ke­rosakan rumah dan peralatan menangkap ikan yang disebabkan oleh bencana alam, kebakaran serta kemalangan.

“Jumlah peruntukkan bagi ne­ge­ri ini pada tahun ini adalah sebanyak RM150,000 dan sehingga kini LKIM telah mengenal pasti 13 nelayan di kawasan ini layak menerima bantuan di bawah tabung ini,” ujarnya.

Tambah beliau, selain bantuan tunai, kerajaan turut menyediakan bantuan touch point seperti peralatan menangkap ikan dan traktor.

“Berdasarkan pelbagai program dilaksanakan dan jumlah yang menerima manfaatnya, jelas menunjukkan keutamaan kerajaan adalah berusaha membantu masyarakat nelayan serta golongan sasar me­ningkatkan taraf hidup dan mendapat faedahnya,” kata beliau.