Pengarah Eksekutif Fajarbaru Builder Group Berhad, Eric Kuan Khian Leng berkata, jentera ber­kenaan akan membantu tugas penyelenggaran di laluan lokomotif antara stesen-stesen tersebut.

“Syarikat kami diberi kepercayaan oleh Kementerian Pe­ngangkutan dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan jentera bagi kerja penyelenggaraan serta projek kemudahan tertentu.

“Jentera ini yang diterima dari China Jiangsu KTK Locomotive & Rolling Stocks Co. Ltd and Gemac Engineering Machinery Co. Ltd. te­lah ditempatkan di stesen Kuala Lipis iaitu pusat penyelenggaraan antara stesen tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin. .

Majlis serah milik jentera ber­kenaan telah pun disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Yang turut hadir ialah Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad; Timbalan Ketua Setia­usaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Chua Kok Ching; Pengerusi Fajarbaru Builder Group Berhad, Datuk Ir. Low Keng Kok dan Pe­ngurus Besar (Jabatan Pengurusan Projek) KTMB, Mejar Abdul Rahman Din.

Menurut Khien Leng, peralatan jentera melibatkan tugas mengangkut bahan pembinaan, rel, kren, kerja pembersihan, projek pemulihan landasan dan penyelenggaraan tertentu di laluan itu.

Beliau berkata, Fajarbaru Builder Group Berhad juga telah tersenarai di Bursa Saham Malaysia berpe­ngalaman dengan dengan projek pembinaan, pembangunan harta­nah, pembalakan dan perkayuan.

“Syarikat kami amat berbangga dan berterima kasih kepada kerajaan, KTMB dan semua pihak kerana jentera ini dapat ditempatkan di sini dengan selamat sekali gus merintis transformasi dan perkembangan perniagaan syarikat ini dalam bidang ini,” katanya.