Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail berkata, projek di bawah Kementerian Belia dan Sukan itu menjadi mercu tanda baharu yang menepati kehendak generasi muda.

“Proses awal mengukur dan meratakan kawasan sudah bermu­la minggu lepas dan pelancaran projek dijangka tahun depan,” katanya selepas merasmikan premis Al Yahna Enterprise milik usahawan muda, Khalilah Gusti Hassan di bawah program pembangunan modal insan Empower ECER di Felda Jengka 11 di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pegawai Projek Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Maran, Nadia Syafiqah Abdulsaidi.

Menurut Wan Salman, litar sukan permotoran dilengkapi kemudahan berkelas dunia itu bukan sahaja untuk perlumbaan motosikal tetapi kereta yang pastinya memberi impak ekonomi kepada penduduk tempatan.

“Lokasi litar dalam reka bentuk yang menarik dan mencabar terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka dan DUN Kerdau adalah sangat strategik,” katanya.

Sementara itu, ADUN Kerdau, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, litar itu akan membantu peminat permotoran terutama di negeri ini khususnya sekitar da­erah Maran, Temerloh dan Jerantut menyertai sukan tersebut.

Beliau optimis litar yang mene­lan belanja besar itu menjadi tumpuan penggemar sukan permoto­ran nasional apabila siap kelak.

“Pembinaan litar ini membuk­ti­kan kerajaan negeri bersedia mem­bantu golongan muda me­nge­tengahkan bakat dalam sukan permotoran,” katanya.