Ismail Mohamed Said

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, peruntukan itu disalurkan dalam dua fasa melibatkan pelaksanaan projek fasa satu dari Tol Chenor ke Bandar Tun Abdul Razak Jengka dengan kos sebanyak RM250 juta.

Beliau yang juga Timbalan Yang Di­pertua Dewan Rak­yat berkata, fasa kedua pula me­libatkan kos RM150 juta melalui jalan beberapa tanah rancangan antaranya Felda Jengka 8, Felda Jengka 23, Jengka 22, Jengka 21, Jengka 13 dan Jengka 11 akan dilaksanakan selepas fasa pertama dijangka siap sepenuhnya selepas 1 Disember 2020.

“Kerajaan sangat prihatin dengan keperluan jalan raya yang baik kerana ia menjadi pemangkin kepada kemaju­an ekonomi, sosial dan kemasyarakat kawasan persekitaran khususnya Felda Wilayah Jengka yang menjadi model pembangunan Felda seluruh negara.

“Projek jalan fasa pertama bermula dari persimpangan Tol Chenor ke Bandar Tun Abdul Razak Jengka sejauh 23 kilo­meter dan terletak di dalam sebahagian jajaran FT83,” katanya ketika berucap pada maj­lis perjumpa­an khas bersama warga Felda dalam Parlimen Kuala Krau di Jengka di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail: ADUN Kerdau, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad; ADUN Jenderak, Datuk Mohamad Jaafar dan Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Abd. Malib Rani.

Menurut Ismail, kelulusan peruntukan itu dinyatakan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjawab pertanyaan wakil Parlimen Kuala Krau dalam Persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini.

Tambah beliau, antara skop kerja yang dilaksanakan bagi projek itu ialah menaik taraf jalan sedia ada iaitu R2 dan R3 kepada stan­dard R5 sepanjang 28 kilometer yang merangkumi lima lorong memotong, menggantikan jambatan Sungai Cenderai, membaik pulih jejambat LPT dan melebar jambatan Sungai Jengka.

“Aspek lain ialah menaik taraf persimpangan utama, pembinaan Bus Laybay, pengalihan utiliti, dan pengambilan tanah pemilik sah.

“Projek fasa pertama telah bermula pada 2 Mei lalu yang mengambil masa selama 43 bulan yang dijaduakan siap pada 1 Disember 2020,” ujarnya.

Beliau berkata, projek menaik taraf dan melebarkan rangkaian jalan raya berkenaan adalah satu keperluan berikutan kepesatan pembangunan Bandar Tun Abdul Razak selaku bandar satelit.