Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan berkenaan di­umumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika melawat Loji Rawatan Air (LRA) Chini tahun lalu.

“Buat masa ini, Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) sudah menghantar bantuan menggunakan 14 lori tangki dan 51 tangki statik bagi memenuhi ke­perluan penduduk yang terjejas akibat gangguan air di kawasan berkenaan.

“Saya sudah meninjau LRA Chini dua hari lalu dan paras air di loji berkenaan adalah 1.68 meter. Maknanya, ia masih belum mencatatkan paras kritikal iaitu 0.68 meter,”' katanya selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Nelayan Beserah di pekarangan Pusat Pengisytiharan Kampung Beserah Pantai di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abd. Razak; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa), Datuk Mustaffar Kamal Ab. Hamid.

Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan traktor kepada Komuniti Nelayan Kampung Beserah Pantai dan Kampung Beserah Baru.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri memerlukan peruntukan berjumlah RM140 juta bagi membina muka sauk baharu dari Kampung Air Hitam ke LRA Chini.

Katanya, peruntukan itu diperlukan bagi pembinaan LRA baharu bagi menampung keperluan penggunaan yang sebelum ini disalurkan dari LRA Chini dan LRA Kuala Lepar.

“Kos ini adalah termasuk pemasangan paip sepanjang 25 kilometer bagi mengambil air mentah dari Sungai Pahang untuk diproses ke LRA Chini sebelum diagihkan kepada pengguna.

“Jika semua peruntukan yang sudah diumumkan dan diluluskan sebelum ini dapat diteruskan oleh kerajaan Pusat, krisis bekalan air bersih ini boleh diselesaikan,” katanya.