ZAHID HAMID menimbang ikan sungai yang berjaya ditangkap ketika musim banjir di sekitar Kuantan semalam.

Ini kerana mereka mampu memperoleh pendapatan sehari antara RM200 ke RM300 dengan hanya menjual ikan darat se­perti keli, lampam, haruan, barau, ubi, baung, puyu, peras dan tembalang.

Ketika orang lain sibuk memindahkan barang-barang milik mereka, pemburu ikan ini pula mengambil peluang memasang jaring di kawasan rumah, sawah, paya, semak dan ladang tanaman yang dinaik air banjir.

Itulah rutin yang dilakukan oleh Zahid Hamid, 53, setiap kali tibanya musim tengkujuh di sekitar kampungnya di Sungai Lem­bing di sini.

Menurutnya, seawal pagi lagi dia sudah keluar untuk menangkap pelbagai spesies ikan darat dengan menaiki perahu miliknya.

“Setiap hari saya akan menjala bagi mendapatkan ikan darat untuk dijual dan pendapatannya agak lumayan, sehari antara RM200 hingga RM300.

“Kebiasaannya ikan-ikan yang saya jual sekitar RM18 hingga RM25 sekilogram,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Zahid yang merupakan bapa kepada empat anak itu memaklumkan, pada awalnya dia hanya suka-suka melakukan aktiviti menjala ikan, namun tidak menyangka mendapat permintaan tinggi daripada penduduk setempat.

Katanya, dia berpuas hati apabila hasil tangkapannya terus dibeli pelanggan sebaik sahaja dia meletakan perahunya di tepi jalan di laluan ke Sungai Lembing.