Atas keyakinan terhadap keupayaan diri sendiri, Mohammad Arif Razali, Muhammad Fazarizal Hamdan, Mohammed Affeeq Awalludin dan Mohammad Izzat Alshafiee membuka restoran berasaskan daging arnab, 'Mr. Bunny Bolletus' pertama di daerah ini sejak Julai lalu.

Mohammad Arif yakin produk berasaskan daging arnab yang masih kurang diteroka usahawan di negara ini mempunyai pasaran besar dan mampu dite­rima masyarakat dari semasa ke semasa.

“Kami melihat industri arnab pedaging ini berpotensi yang mana tidak ramai yang menceburkan diri dalam perniagaan ini di Malaysia.

“Apabila menceburi bidang ini, kami melihat ia mempunyai pasaran luas yang mana sate dan rendang arnab mendapat permintaan tinggi sehingga kami perlu mendapatkan tambahan bekalan da­gingnya dari tempat lain,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Mohammad Arif, menu utama ditawarkan di restoran mereka yang dibuka di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Piatu ialah sate dan rendang arnab yang mendapat permintaan tinggi.

Selain itu katanya, mereka turut menyediakan bebola arnab dan daging arnab perap selain menu lain seperti ayam serta daging bagi mereka yang tidak makan daging arnab.

“Antara menu yang kami ada adalah nasi lemak bersama rendang arnab, ayam atau daging, pelbagai jenis sate, kentang dan cendawan goreng serta cendol sawit,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan kepada sambutan yang memberangsangkan, mereka bercadang membuka lebih banyak cawangan di seluruh negara seperti Kedah dan Melaka yang akan dibuka dalam waktu terdekat.