Hari ini Tunku Azizah ber­kenan mencemar duli melancarkan projek perintis pes asam pedas dan pes rendang serta memasak pelbagai hidangan berasaskan pes berkenaan di hadapan 20 penghuni penjara.

Titah baginda, kedua-dua resipi itu akan diajar kepada penghuni penjara berkenaan seterusnya dikomersialkan ke seluruh negara.

“Selain menjana pendapatan kepada pihak penjara resipi itu dapat dijadikan bekalan kepada penghuni penjara iaitu apabila keluar kita harap mereka mampu memulakan perniagaan sendiri.

“Saya mahu kongsikan lebih banyak resipi dengan mereka dan pada peringkat permulaan ini pes asam pedas dan rendang, selepas ini mungkin pes kari serta sambal hitam,” titah baginda pada program Keindahan Di sebalik Dinding di Penjara Bentong di sini, hari ini.

Yang hadir sama Pengarah Penjara Pahang, Datuk Ab. Basir Mohamad; Naib Presiden Komunikasi dan Perhubungan Awam Resort World Genting, Khaterine Chew dan Chef Eksekutif Resort World Genting, Alex Vitalise.

Tunku Azizah bertitah, pes berkenaan bakal dihasilkan peng­huni penjara itu akan dipastikan mempunyai kualiti terbaik dan rasa yang asli selain mempunyai pembungkusan baik.

Sementara itu, seorang penghuni penjara berumur 45 tahun berkata, dia berasa amat bertuah kerana berpeluang mempelajari resipi air tangan Tengku Puan Pahang itu.